mutakhir

JPNP swastakan 14 Taman Eko Rimba

Oleh Mohd Rafi Mamat

Cameron Highlands: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menswastakan 14 kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpan Kekal di negeri ini yang berada di bawah seliaan pihaknya.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, terdapat 26 Taman Eko Rimba (TER) di Pahang yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di setiap daerah.

Beliau berkata, keputusan penswastaan itu bertujuan membolehkan pusat pelancongan itu diurus dengan sempurna seterusnya menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

"Kita tidak mampu untuk menguruskan semua TER yang terdapat di negeri ini, justeru hanya dengan penswastaan sahaja dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

"Pahang kaya dengan produk ekopelancongan di dalam Hutan Simpan Kekal, ia mampu memberi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) yang disempurnakan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang di TER Parit Fall, di sini semalam.

Antara TER yang diswastakan ialah TER Sungai Pandan, TER Berkelah, TER Lubuk Yu, TER Kenong, TER Kem Nusa, Air Terjun Pelangi, Hutan Konifer, Air Terjun Ulu Tampik dan Pusat Kecemerlangan Alam Sekitar Sungai Tabung (PKAS).

Turut diswastakan Taman Negeri Rompin (TNR) yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin.

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 10:04am
d