mutakhir

Pencarum KWSP serah memorandum desak pengeluaran RM10,000

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sekumpulan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkumpul di hadapan Parlimen, di sini, hari ini, bagi mendesak kerajaan untuk meluluskan pengeluaran caruman berjumlah RM10,000.

Tinjauan mendapati kumpulan itu mula berkumpul pada 9.30 pagi sebelum menyerahkan memorandum kepada seorang wakil di bangunan Parlimen.

Wakil pencarum, Mohd Farhan Jailani berkata, pencarum yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran caruman itu demi kelangsungan hidup.

"Kami dengan tegasnya sebagai pencarum KWSP yang terkesan ingin menuntut hak kami mengikut Akta KWSP 1991.

"Kami tidak akan sekali-kali berhenti sehinggalah wang itu berada dalam akaun bank kami," katanya semasa perhimpunan berkenaan, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi bagi memantau keadaan.

Menurutnya, seramai 18 individu terbabit dalam perhimpunan untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

"Mereka berkumpul selama kira-kira 20 minit dan kesemuanya kemudian beredar selepas memorandum diserahkan dalam keadaan terkawal," katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 3:04pm
d