mutakhir

2 kanak-kanak maut motosikal langgar tiang elektrik

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Dua kanak-kanak lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di kawasan sawah padi di Kampung Terus, Penanti, di sini.

Kedua-dua mangsa yang dipercayai berusia 12 tahun itu dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Baharuddin Abdullah berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada penduduk kampung itu berhubung kemalangan tragis berkenaan pada 2.30 petang.

"Saya yang kebetulan berada di luar kawasan terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati terdapat mayat dua kanak-kanak yang tercampak dari motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mereka.

"Dua kanak-kanak ini bukan penduduk kampung di sini dan mereka didapati masuk meronda dengan menunggang motosikal sebelum mereka terbabit kemalangan.

"Kawasan ini (Kampung Terus) memang banyak orang datang meronda sebab jalan lurus dan nak tengok pemandangan sawah padi, namun tidak sangka berlaku kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, polis sudah datang membuat pemeriksaan dan menghantar mayat kedua-dua kanak-kanak itu kemudian ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan masih lagi diteruskan.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan video dan gambar berhubung kemalangan yang menimpa dua kanak-kanak itu.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggangi terbabas dan hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik dekat situ.

Berikutan impak kemalangan berkenaan menyebabkan kepala mangsa pecah sehingga menyebabkan otak terkeluar.

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 10:15pm
d