mutakhir

GMSN umum tiga calon Program Fellowship Pasca Kedoktoran

Kuala Lumpur: Pusat Jaringan Global Pengajian Malaysia (GMSN) mengumumkan tiga calon yang berjaya dipilih mengikuti Program Fellowship Pasca Kedoktoran yang pertama kali diperkenalkan.

Ketiga-tiga felo itu dibimbing oleh sarjana kanan daripada tiga universiti yang menjadi rakan kongsi GMSN iaitu, Universiti Pennsylvania (UPENN), Universiti Goethe Frankfurt (Goethe) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk tempoh tiga bulan.

Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang juga ketua projek berkata, pihaknya menerima permohonan daripada penyelidik universiti di seluruh Malaysia mewakili pelbagai disiplin.

"Program Fellowship GMSN ini akan diadakan secara dalam talian untuk mempromosikan penyelidikan ilmiah dan kerjasama mengenai Kajian Malaysia.

"Matlamatnya adalah untuk menyediakan peluang bagi mengukuhkan bidang kajian menerusi sumbangan penyelidikan global dan perkongsian sumber. Program ini adalah untuk menyokong penyelidik muda dengan bimbingan daripada sarjana akademik senior secara global," katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihak berharap kerjasama itu dapat meningkatkan pemahaman terhadap Malaysia dan membawa kajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Prof Arndt Graf dari Universiti Goethe Frankfurt berkata, sepanjang dekad lalu, Kajian Malaysia semakin berkembang dan semakin ramai sarjana seluruh dunia berminat dengan Malaysia.

"Pengantarabangsaan dan kerjasama antarabangsa menjadi tema penting bagi Pengajian Tinggi Malaysia," katanya.

Tiga sarjana yang terpilih mengikuti Program Fellowship Pasca Kedoktoran iaitu Dr Nicholas anak Gani dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Dr Izawati Wook dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr Muhamad Nadzri Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Dr Andrew Carruthers dari Universiti Pennsylvania berkata, GMSN sedang mengkonseptualisasikan semula Kajian Malaysia dan Nusantara dengan cara yang sangat baru dan penting.

"Usaha penting daripada UKM ini memotivasikan pelbagai pemahaman mengenai Kajian Malaysia pada abad ke-21," katanya.

Tiga felo berkenaan dijangka menerbitkan buku daripada tesis PhD mereka dengan bimbingan mentor.

Mereka juga akan membentangkan penyelidikan pada persidangan sulung GMSN akhir tahun ini.

Disiarkan pada: March 16, 2022 @ 12:16pm
d