mutakhir

Pesakit Covid-19 terbabit dalam kemalangan meninggal dunia

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Pesakit Covid-19 warga emas yang terbabit dalam kemalangan lima kenderaan termasuk dua ambulan di Setiu, di sini, pada Jumaat lalu, disahkan meninggal dunia, semalam.

Wanita terbabit Fatimah Jusoh, 74, meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira 1.30 tengah hari.

Anak Allahyarham, Murniyati Harun, 47, berkata mereka sekeluarga sedih namun reda dengan pemergian ibunya selepas bapa mereka, Harun Md Zin, 80, meninggal dunia kira-kira 12 hari lalu.

"Kami sekeluarga sangat sedih, baru sahaja ayah meninggal dunia kira-kira 12 hari lalu, kami sekali lagi diuji dengan pemergian ibu pula.

"Sepanjang hidup, ibu dan ayah sangat bahagia... tidak pernah berpisah, memang itu sudah suratan yang Allah tetapkan untuk mereka meninggal dunia bersama," katanya.

Murniyati berkata, selepas kemalangan itu, ibunya yang patah paha kanan dan patah kedua-dua belah rahang dikejarkan ke HSNZ untuk menerima rawatan.

"Sepanjang mendapat rawatan, ibu tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif dan bergantung sepenuhnya pada bantuan alat pernafasan.

"Oleh kerana ibu dijangkiti Covid-19, kami tidak dapat melawatnya dan hanya mendapat maklumat berhubung tahap kesihatannya melalui kakitangan hospital," katanya.

Katanya, ibunya itu disahkan dijangkiti Covid- 19 kategori empat di Hospital Kemaman pada Jumaat lalu sebelum dirujuk ke Hospital Setiu.

"Dalam perjalanan dengan ambulan itulah ibu terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kami sekeluarga susah hati kerana tidak dapat melawatnya.

"Ibu pernah terjatuh dan sejak itu dia tidak boleh berjalan, namun masih boleh bercakap dan tidak menunjukkan sebarang perbuatan pelik sebelum mendapat kemalangan itu, "katanya.

Katanya, hasil perkongsian hidup ibu bapanya dikurniakan empat anak dan memiliki 15 cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuang, kira-kira 7 malam semalam.

Disiarkan pada: March 16, 2022 @ 2:05pm
d