mutakhir

Solat jemaah, tarawih tanpa jarak dibenar mulai 1 April

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dan solat sunat tarawih dibenarkan di semua surau serta masjid di Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 1 April ini, selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik, demikian menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Perkara itu antara enam ketetapan baharu yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah, selain berdasarkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di masjid dan surau.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan hari ini berkata jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika hadir untuk menunaikan ibadah di masjid dan surau.

Manakala kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksinasi Covid-19.

"Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Manakala Qiamullail dibenarkan diadakan mulai tengah malam," katanya.

Sementara itu majlis berbuka puasa, moreh dan sahur juga dibenarkan di masjid serta surau, dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus, manakala aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau dibenarkan pada mana-mana waktu bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

"Semua kebenaran itu adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT," katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2022 @ 2:15pm
d