mutakhir

Juliza gapai impian selepas 11 tahun berjuang demi segulung ijazah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Perjuangan selama 11 tahun untuk menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan bukan penghalang untuk meraih kejayaan.

Itulah yang dibuktikan oleh graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Juliza Ameruddin, 36 yang hadir pada Majlis Konvokesyen UMP ke-15, hari ini dalam keadaan bergantung kepada Long-term Oxygen Therapy (LTOT) untuk bantuan pernafasan.

Juliza berkata, disebabkan penyakit asma dihidapinya semakin kronik, dia sentiasa perlu bergantung kepada peralatan perubatan itu.

Katanya, dia menghidap penyakit Brittle Asthma sejak 2007, tetapi penyakitnya semakin kronik pada 2010 sehingga mengakibatkan diintubasi sebanyak 115 kali di hospital.

"Saya mula mendaftar di UMP pada 2009, pada awalnya sihat tetapi pada tahun ketiga pengajian keadaan semakin kronik yang mengakibatkan saya lumpuh dan menerima kad orang kurang upaya (OKU).

"Sejak kejadian itu saya kerap menangguhkan pengajian. Tetapi, semangat untuk belajar tidak pernah padam dan saya amat terharu UMP memberi peluang untuk menyambung pengajian selepas menangguh pengajian selama enam tahun kerana masalah kesihatan," katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) itu berkata, di sebalik kejayaan yang dikecapinya, sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling banyak membantu terutama pihak UMP, keluarga serta rakan.

"Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, logistik untuk kelas, memberi ruang perniagaan di dalam kampus dan lain-lain.

"Selain itu, pihak fakulti juga banyak membantu sepanjang pengajian dengan menyediakan kelas secara dalam talian.

"Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya ditawarkan bekerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat, namun saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan pada bidang perniagaan makanan yang diusahakan selepas setahun," katanya.

Justeru, Juliza yang juga anak sulung daripada lima beradik berterima kasih kepada semua yang sentiasa membantunya sehingga berjaya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut mengimbas kenangan sewaktu berada di hospital apabila doktor memaklumkan keadaannya semakin kritikal dan tiada harapan kembali sembuh.

"Namun, berkat kesabaran dan doa semua, Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk bernafas sehingga kini.

"Sumber inspirasi dan kekuatan sudah tentulah kedua ibu bapa iaitu Ameruddin Zakaria, 66, dan Nuraini Mat Piah, 56, yang terlalu banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya," katanya.

Juliza berharap perjuangannya dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat bahawa masalah kesihatan bukan halangan untuk berjaya.

Sementara itu, Nuraini berkata, dia amat bersyukur dan gembira atas kejayaan anaknya dalam pelajaran mahupun kehidupannya.

"Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong apa jua minat Juliza dan sering menasihatinya bahawa kesihatan perlu sentiasa dijaga," katanya.

Juliza menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Disiarkan pada: March 18, 2022 @ 5:37pm
d