mutakhir

Pemandu Hilux 'buli' kereta dicari [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis sedang mengesan pemandu Toyota Hilux yang didapati memandu secara merbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis mengesan satu video berdurasi satu minit 35 saat yang dimuat naik seorang pelayar Facebook (FB) pada semalam.

Menurutnya, video itu memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melakukan buli jalan raya dengan cuba menghimpit sebuah kereta lain sehingga hampir berlaku kemalangan.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kelmarin (Jumaat) pada 2.49 petang di Kilometer 138.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

"Insiden menunjukkan pacuan empat roda terbabit dengan nombor pendaftaran PMX3338 menghimpit sebuah kenderaan nombor pendaftaran tidak pasti yang hampir menyebabkan berlakunya kemalangan.

"Disebabkan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemandu pacuan empat roda terbabit dan pemandu kenderaan yang dihimpit dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut.

"Polis memohon pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04-5382222," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2022 @ 9:44am
d