mutakhir

Sekat akaun bank bekas suami culas bayar nafkah dijangka dilaksanakan tahun ini

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memastikan pelaksanaan pembekuan akaun bank bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dilaksanakan tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dan bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan kerana perkara itu membabitkan hal tuntutan, selain banyak libat urus bersama pihak lain perlu diambil kira.

"Perkara ini bukan sahaja membabitkan KPWKM, malah ia juga membabitkan mahkamah syariah, hal tuntutan dan sebagainya.

"Namun, kita akan cuba untuk laksanakan tindakan pembekuan akaun bank bekas suami yang culas tahun ini juga," katanya kepada media selepas merasmikan Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi Kota Damansara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rina menyifatkan usul Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat semalam berhubung isu itu sangat baik kerana ia memperjuangkan nasib wanita.

"Saya kira, itu satu pengumuman yang disambut baik oleh wanita kerana banyak kes apabila sudah mendapat perintah mahkamah, pihak suami ini tidak membayarnya.

"Jadi, apabila sudah mendapat perintah mahkamah, akaun itu akan dibekukan dan majikan akan bayar secara terus kepada bekas isteri," katanya.

Semalam, Perdana Menteri dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (Pau) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dipetik berkata, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita terbabit.

Sebelum ini, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam kenyataan dilaporkan berkata, suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah berdepan tindakan sekatan akaun bank selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari 2021.

Katanya, pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman kepada pihak ketiga, iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman.

Kenyataan itu turut menyebut, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Disiarkan pada: March 20, 2022 @ 3:58pm
d