mutakhir

Nak rakam gambar, terjumpa mayat pula

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, di sini, terkejut selepas menemui satu mayat wanita di kawasan gaung, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10. 30 pagi itu, mayat wanita yang tidak dikenali identitinya memakai seluar sukan berwarna hitam dan baju kemeja-T berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berkenaan memaklumkan penemuan mayat berkenaan kepada renjer hutan yang sedang bertugas sebelum membuat laporan polis.

"Kami menerima makluman daripada anggota renjer hutan yang bertugas di kaunter Pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah mengenai penemuan mayat itu jam 11.15 pagi di tepi Jalan Bukit Putus Lama.

"Renjer berkenaan memaklumkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an mahu mengambil gambar ketika sedang berjoging dan ternampak mayat wanita berkenaan di kawasan gaung di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada renjer berkenaan, lelaki terbabit bersama rakannya mendekati mayat berkenaan dan mendapati mayat dalam keadaan tertiarap sebelum memaklumkan penemuan kepada kakitangan Jabatan Perhutanan itu.

"Polis bersama Unit Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Unit Anjing Pengesan (K9) berserta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang ke lokasi sejurus mendapat laporan.

"Siasatan awal mendapati mayat ditemui di kawasan gaung di bawah jambatan. Lokasinya jauh dari kawasan perumahan dan sunyi.

"Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai sebarang kesan yang boleh membantu siasatan," katanya.

Nanda berkata, wanita terbabit setinggi 1.4 meter, bertubuh agak kecil, berseluar sukan dan baju kameja-T berwarna hitam, tidak memakai barang kemas dan kuku pendek serta tidak diwarnakan.

"Hasil siasatan awal pihak forensik belum dapat memastikan punca kematian dan kaitan unsur jenayah juga belum dapat dipastikan. Punca kematian akan diperoleh selepas bedah siasat selesai.

"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut," katanya.

Susulan itu, Nanda meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

CAPTION: SEREMBAN 20 MAC. Mayat seorang wanita ditemui di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Foto ihsan polis.

From: Hasbi

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 1:38am
d