mutakhir

Pemandu SUV terbabas rempuh kedai makan dipercayai mabuk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas hingga melanggar kenderaan dan pelanggan kedai makan di Jalan Klang Lama di sini, semalam dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan itu berlaku pada 8.30 malam yang membabitkan tiga kenderaan, dua pejalan kaki dan lapan pelanggan restoran yang sedang makan.

"Ia dipercayai berlaku ketika lelaki yang berusia 57 tahun memandu SUV jenis Honda HRV dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar.

"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu hilang kawalan lalu melanggar Lexus 2.5 yang diparkir di bahu kiri jalan hingga menyebabkan kereta kereta itu bergerak dan melanggar pula Perodua Axia yang diletakkan di hadapannya.

"Perodua Axia itu kemudian melanggar lapan pelanggan yang sedang makan dan dua pejalan kaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua daripada 10 individu itu patah anggota badan dan semua yang tercedera dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau mengesahkan saringan kandungan alkohol pemandu SUV itu mendapati ia melebihi had ditetapkan dan suspek sudah ditahan dan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita berkaitan

11 cedera, kereta terbabas rempuh kedai makan

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 11:22am
d