mutakhir

Hutang lima tahun tapi paksa bayar dalam tiga hari [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tawar pinjaman RM20,000 dengan bayaran serendah RM200 selama lima tahun.

Itu antara 'jerat' dipasang along di Facebook (FB) untuk menarik minat pelanggan melakukan pinjaman daripada mereka.

Apabila peminjam sudah masuk perangkap, sindiket along memaksa mangsa menyelesaikan pinjaman dalam tempoh tiga hari ataupun mengenakan faedah tidak masuk akal.

Kegagalan mangsa melunaskan tuntutan sindiket kemudiannya menyebabkan mereka diaibkan dalam kalangan ahli keluarga, rakan sekerja dan jiran tetangga berbekalkan data seperti nombor telefon yang dicuri daripada telefon pintar mangsa.

Ketua Jabatan Aduan Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Syed Kamarul Al Masyhur berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 100 kes seperti itu selepas mangsa memuat turun aplikasi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai kaedah dan jerat digunakan sindiket along untuk memerangkap mangsa dan kini mereka aktif mempromosikan pinjaman di FB.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan diberikan pautan yang kemudiannya diminta memuat turun satu aplikasi.

"Di sinilah (aplikasi) segala data yang terkandung di dalam telefon pintar mangsa akan dicuri yang akhirnya digunakan kembali untuk mengugut mangsa," katanya dalam sdatu temu bual khas bersama Harian Metro, semalam.

Menurutnya, aplikasi berkenaan tidak disediakan di Google Play Store atau Apps Store, tetapi mangsa diberikan pautan menerusi WhatsApp.

Diminta memperincikan kaedah ugutan berkenaan, Syed Kamarul berkata, setiap mangsa diminta untuk mengambil gambar bersama kad pengenalan ketika proses mengisi pinjaman menerusi aplikasi berkenaan.

"Mereka kemudian mengugut mangsa untuk segera melunaskan jumlah dan faedah hutang.

"Ada kes dipaksa selesaikan dalam tiga hari sahaja berbanding tempoh asal lima tahun. Kalau mangsa pinjam RM20,000, mana nak cari.

"Jika gagal, along akan menggunakan butiran yang dicuri dalam storan telefon pintar mangsa (dicuri melalui aplikasi) untuk menyebarkan segala maklumat kepada ahli keluarga, kenalan, majikan dan jiran.

"Ada juga kes along menyunting gambar dan video semata-mata untuk mengaibkan mangsa di depan semua kenalan dan ahli keluarganya," katanya.

Di samping itu, Syed Kamarul juga menasihatkan supaya orang ramai memastikan mereka membuat pinjaman dengan Kredit Komuniti yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Sekurang-kurangnya bila jadi apa-apa masalah, kita boleh adukan kepada KPKT.

"Seelok-eloknya kita mengelakkan diri (membuat pinjaman) daripada along," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 2:16pm
d