mutakhir

Hanya 10 peratus kanak-kanak di Kelantan ambil vaksin

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Hanya 25,800 atau 10 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Kelantan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, angka itu masih rendah berikutan ramai ibu bapa tidak mahu anak mereka menerima vaksin.

Beliau berkata, sikap ibu bapa yang menolak vaksin Covid-19 untuk anak mereka itu sangat membimbangkan memandangkan sesi persekolahan bermula hari ini dan akan menyebabkan angka kes jangkitan Covid-19 di sekolah kembali meningkat.

"Kita berharap ibu bapa membawa anak di bawah jagaan masing-masing mengambil vaksin Covid-19 untuk melindungi kanak-kanak.

"Pada masa sama, vaksin ini akan mengurangkan risiko jangkitan memandangkan varian Omicron semakin menular di negara ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, varian Omicron amat cepat merebak dan sangat membimbangkan jika menjangkiti kanak-kanak.

Beliau berkata, sebagai ibu bapa, mereka bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kesihatan anak terutama di musim pandemik Covid-19.

"Saya menasihatkan kepada ibu bapa supaya mendapatkan vaksin untuk anak mereka di pusat pemberian vaksin (PPV), hospital, klinik atau di sekolah yang disenaraikan.

"Pada masa sama, jangkitan kes harian Covid-19 di Kelantan semalam adalah 518 kes dan 26 kluster masih aktif," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 2:27pm
d