mutakhir

Makmal mini proses dadah untuk pusat hiburan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sindiket dadah dikesan aktif sejak bulan lalu, menjadikan sebuah rumah di sini sebagai makmal mini untuk memproses serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), syabu, ketamin, pil ekstasi dan erimin 5.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan pada 2 pagi, Khamis lalu dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemukan 85 paket dadah MDMA, syabu (53.7 gram), empat paket ketamin (16.5 gram), 45 biji pil ekstasi (16 gram) dan 40 pil dadah erimin 5 (12 gram).

Katanya, dadah diproses dipercayai untuk campuran dalam minuman perisa buah-buahan bagi pasaran pusat hiburan sekitar negeri.

"Hasil risikan mendapati aktiviti sindiket itu bergiat aktif sejak Februari lalu dan ujian saringan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Suspek bagaimanapun tiada rekod lampau membabitkan jenayah mahupun dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan, selain pihaknya turut menyita motosikal.

"Keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah bernilai RM110,385 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang sudah menahan 2,773 individu bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Mac lalu, dan menyita harta benda serta merampas dadah bernilai RM8,118,696.

Katanya, dalam tempoh itu, juga 12 Operasi Tapis Khas dan Operasi Sarang dilaksana serta menumpaskan tujuh sindiket dadah.

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 3:34pm
d