mutakhir

Perak terbuka benar penggunaan tulisan jawi [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan negeri Perak bersikap terbuka kepada usaha semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menerapkan tulisan Jawi khususnya pada visual papan tanda premis perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, tiada paksaan dalam pelaksanaan pembudayaan itu, sebaliknya terletak pada kesesuaian lokaliti sesebuah PBT terbabit.

"Bagi peringkat negeri, kita tidak menetapkannya, (sebaliknya) itu adalah usaha yang dijalankan oleh pihak PBT itu mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan sekiranya PBT terbabit sudah mendapat sokongan daripada penduduk serta dipersetujui oleh wakil daripada ahli majlis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (Daken), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Munawati Yaacob.

Nolee Ashilin berkata demikian diminta mengulas langkah diambil Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi pembudayaan tulisan Jawi yang menghiasi Bandar Diraja Kuala Kangsar melalui permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan selain pada papan tanda nama jalan.

Menurutnya, bagi MPKK, pihaknya difahamkan perkara itu sudah dibawa ke mesyuarat penuh ahli majlis dan dipersetujui, selain dapatan yang dibuat dengan peniaga setempat mendapati rata-rata daripada mereka termasuk peniaga bukan Bumiputra turut bersetuju mengenainya.

"Ia kerana mereka memikirkan Kuala Kangsar adalah bandar pelancongan yang ditakrifkan sebagai Bandar Diraja dan mereka perlu mengekalkan elemen yang boleh ditonjolkan sebagai warisan dan tradisi melalui seni Jawi sebagai antara tarikan untuk daerah Kuala Kangsar," katanya.

Katanya lagi, setakat ini hanya dua PBT di Perak iaitu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan MPKK sahaja yang melakukan langkah sedemikian.

Sebelum ini, MDBG dilaporkan turut melakukan langkah serupa apabila menetapkan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan sebagai dasar menggalak dan mempromosikan penggunaan tulisan itu di kawasan pentadbiran PBT terbabit.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 1:09pm
d