mutakhir

APMM temu 446 ketulan ganja bernilai RM2.23 juta dihanyutkan [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Bungkusan plastik yang ditemukan terapung berselerakan di dua lokasi di perairan Kuala Perlis, semalam dikenal pasti 446 ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan mencecah RM2.23 juta yang cuba diseludup masuk dari Thailand.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis, Kepten Maritim Saliza Ahmad berkata, ketulan ganja dijumpai sepasukan anggota Zon Maritim Kuala Perlis ketika rondaan Op Aman di sekitar perairan Kuala Perlis.

"Kita menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada 10.33 pagi dan diikuti penemuan kedua di posisi 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada 11.15 pagi.

"Curiga dengan bungkusan itu, anggota yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat 18 bungkusan guni plastik berwarna putih mengandungi 446 ketulan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat 446 kg bernilai RM2.23 juta," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya ganja berkenaan cuba diseludup ke negara ini dengan cara dengan menghanyutkan bungkusan plastik terbabit sebelum diambil oleh anggota sindiket dari negara ini.

Katanya, ia kemudian akan dibawa ke daratan sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Siasatan awal percaya anggota sindiket dari Thailand akan membawa bungkusan dadah jenis ganja itu untuk ditukarkan dengan bekalan daun ketum yang dibawa oleh sindiket yang sama dari negara ini menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi.

"Kita percaya bagi mengelakkan daripada ia dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa negara ini, sindiket yang membawa ganja itu akan membuang dan menghanyutkan bungkusan ganja berkenaan sebelum memaklumkannya kepada anggota sindiket di negara ini.

"Berkemungkinan arus yang kuat menyebabkan bungkusan ganja ini ditemui di dua lokasi yang masing-masing berjarak sekitar empat kilometer," katanya.

Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan dan kesemua rampasan dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.

"Ganja yang dirampas ini dianggarkan mampu membekalkan sekitar 44,600 penagih dadah di negara ini dengan setiap satu ketulan mampat ini mampu mencecah harga sehingga RM5,000.

"Ini adalah rampasan dadah terbesar bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang juga rampasan terbesar bagi APMM Kedah/Perlis pada awal tahun ini," katanya.

Katanya, rampasan ganja terdahulu berlaku di perairan Kuala Perlis pada 3 Februari lalu dengan jumlah berat sekitar 30 kg bernilai kira-kira RM150,000.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 5:56pm
d