mutakhir

Tiga ditahan bantu siasatan penemuan mayat wanita

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Tiga individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti di gaung dekat Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus, di sini, Ahad lalu, ditahan polis.

Dua lelaki ditahan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Temiang, di sini, manakala seorang wanita ditahan di Jalan Persiaran Utama S 2/4, Seremban 2, juga di daerah Seremban, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan misteri penemuan mayat terbabit.

"Dua lelaki ditahan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, manakala wanita itu di Jalan Persiaran Utama S 2/4, jam 8.50 malam tadi.

"Perintah reman terhadap suspek bermula pada Rabu hingga 29 Mac depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro pada 21 Mac lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, di sini, terkejut selepas menemui mayat di kawasan gaung.

Mayat wanita yang tidak dikenali identitinya memakai seluar sukan berwarna hitam dan baju kemeja-T berwarna hitam.

Disiarkan pada: March 23, 2022 @ 5:38pm
d