mutakhir

Mayat pelatih AMD ditemukan selepas 27 jam

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Mayat Pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Muhammad Saiful Ezzudin Mustaffa, 14, ditemukan dalam ban pasir di Kampung Sungai Limau, petang tadi.

Mangsa ditemukan anggota pasukan mencari dan penyelamat kira-kira jam 5.45 petang tadi selepas dilaporkan dihanyut arus deras ketika mandi di sungai berkenaan bersama rakannya, semalam.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan 11, Rahimi Ali berkata, mangsa ditemukan dalam tempoh 27 jam selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 kilometer (km) dari tempat dia dilaporkan mandi bersama empat rakan yang lain berdekatan Kampung Padang Temu, Batu 48, Bongor.

"Hujan lebat dan arus sungai deras dipercayai menyebabkan mangsa dihanyutkan kira-kira 10 km. Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, pelajar lelaki itu dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Ketil, berdekatan Kampung Padang Temu, Batu 48 Bongor.

Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 4.11 petang sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat dalam hujan lebat.

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan malam tadi disebabkan faktor cuaca dan keadaan gelap sebelum disambung semula 8 pagi tadi.

Disiarkan pada: March 24, 2022 @ 8:19pm
d