mutakhir

YBR anjur bengkel i Perniagaan lahir lebih ramai usahawan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menganjurkan Bengkel Keusahawanan dan Motivasi (i Perniagaan) bagi melahirkan lebih ramai usahawan berskala mikro terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bengkel berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang, hari ini itu membabitkan peruntukan sebanyak RM49,339.

Ia adalah program kerjasama bersama Pertubuhan Pembangunan Pertiwi, Belia dan Kemanusiaan Malaysia yang bertujuan melahirkan usahawan sedia ada bagi.

Ini termasuk golongan B40 dan M40 dan usahawan orang kurang upaya (OKU) bagi mendapatkan pendidikan dan kemahiran usahawan dalam mengembangkan serta mengekalkan perniagaan dalam norma baru.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, peserta bukan sahaja mendapat kemahiran malah turut berpeluang meningkatkan pendapatan dalam kadar segera dan akses pengetahuan pasaran bagi produk mereka.

"Bidang keusahawanan dilihat sebagai alternatif terbaik dan pilihan utama bagi rakyat mengurangi bebanan kos sara hidup yang diharapkan dapat membuka peluang buat mereka menjana pulangan.

"Alhamdulillah, program ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan. Kerjaya keusahawanan, bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup individu dan masyarakat, malah menyumbang peningkatan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sokongan kepada usahawan perlu terus diberikan dengan cara menggalakkan mereka menimba ilmu pengetahuan dan dilihat sebagai pemangkin semangat selain membantu mereka mengasah kemahiran.

"YBR turut berharap agar masyarakat bijak mencari dan merebut peluang memulakan perniagaan sekali gus memanfaatkan sumber pendapatan baharu untuk kelangsungan hidup," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2022 @ 11:52pm
d