mutakhir

Maut dilanggar ketika buat pusingan U secara mengejut

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Setiu: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika membuat pusingan U secara mengejut di Kilometer 69 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Pak Kancil, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa berusia 18 tahun beralamat di Putera Jaya, Bandar Permaisuri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira 4.30 petang.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu MPV berusia 52 tahun dari arah Taman Perumahan Bukit Bayas, Kuala Ibai dalam perjalanan ke Setiu Wet Land.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu MPV melihat penunggang motosikal Yamaha LC 135 datang dari arah Kampung Pak Kancil menghala ke Bandar Permaisuri berada di kiri jalan.

"Bagaimanapun, penunggang motosikal itu membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kanan motosikal.

"Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 27, 2022 @ 2:41pm
d