mutakhir

'Banyak kali dah dia ajak mandi, kata panas' [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Suri rumah dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Tandop Pak Din, Sungai Bukit Teriak, Telaga Mas, Langgar, di sini, hari ini.

Kejadian itu disedari suaminya, Sulaiman Tasu, 58, ketika mencari isterinya, Rossidah Yusof, 57, di tebing sungai selepas ternampak kasut dan motosikal milik mangsa.

Sulaiman berkata, dia mengesyaki isterinya hilang selepas mendapati dia tiada di rumah di Kampung Telaga Mas tidak jauh dari lokasi dan bertanyakan perkara itu kepada anak sulung, Mohd Ashyraff, 29.

Katanya, apabila anaknya memberitahu ibunya tiada, dia tidak sedap hati dan terus ke sungai untuk mencari wanita itu.

"Sebelum ini banyak kali dah dia ajak mandi sungai sebab dia kata panas, nak mandi.

"Tapi tak sangka dia datang ke sini kerana motosikal dan kasutnya ditemui di sini sebelum saya memaklumkan perkara itu kepada polis dan bomba," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Sulaiman yang bekerja kampung berkata, dia mengesyaki berkemungkinan besar isterinya datang ke sungai itu pada awal pagi disebabkan terdapat kesan air embun pada kerusi motosikal yang ditinggalkan di situ.

Katanya, isterinya juga turut mengalami kemurungan sejak dua bulan lalu.

"Kebetulan ubat darah tinggi dan kencing manisnya habis dan saya bercadang nak ambil semula ubat isteri hari ini di Klinik Kesihatan Pokok Sena tapi tak sangka ini pula yang terjadi. Namun saya berharap isteri saya ditemui selamat," katanya.

Sulaiman berkata, laporan sudah dibuat di Balai Polis Langgar pada jam 10 pagi untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.12 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi turut dibantu PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani selain empat anggota polis.

"Operasi pencarian di permukaan air dilakukan selain lima kali selaman dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh," katanya di sini hari ini.

Mohd Bustan berkata, antara cabaran yang dilalui anggotanya adalah arus kuat walaupun pintu air di tandop berkenaan sudah ditutup.

Beliau berkata, kedalaman tandop sungai berkenaan adalah antara tiga hingga empat meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: March 27, 2022 @ 4:38pm
d