mutakhir

Johor benar rapat sejadah tanpa sentuhan, solat tarawih

Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid berkata, perkara itu antara yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah Dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarikat adalah dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.

"Aktiviti yang membabitkan bermalam adalah ditangguhkan sehingga suatu arahan lain yang akan dimaklumkan.

"Untuk aktiviti memasak dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan. Jamuan majlis boleh dilaksanakan di dalam masjid dan surau tetapi dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

"Jamuan berhidang adalah dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi yang diprogramkan dengan tidak melebihi 50 jemaah.

"Majlis ucapan dan penyerahan bantuan kepada asnaf dalam kawasan masjid dan surau adalah dibenarkan. Tetapi majlis ucapan dan penyerahan bantuan yang dianjurkan oleh parti politik atau wakil rakyat dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan, kecuali Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor sahaja," katanya pada sidang media di Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fared, bagi solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir hendaklah dilaksanakan sebanyak tiga rakaat sahaja.

Katanya, imam yang bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk yang ke- 30 dan imam jemputan solat sunat tarawih hendaklah yang mendapat surat kebenaran dari Kadi Daerah.

"Bagi memelihara kesucian agama Islam, maka umat Islam tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama bukan Islam.

"Edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh adalah dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

"Bagi Program Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas selesai solat witir atau waktu yang telah diprogramkan oleh masjid dan surau. Pelaksanaan tazkirah sebelum, semasa dan selepas tarawih adalah tidak dibenarkan.

"Majlis Khatam Al-Quran dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi dua jam. Bagi majlis Qiamullail dibenarkan dalam tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh," katanya.

Tambahnya semua jemaah masjid dan surau perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera.

"Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau dan mengarahkan tutup jika didapati melanggar SOP," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2022 @ 2:10pm
d