mutakhir

Lelaki putus tangan, jari ditemukan rentung dalam kereta terbakar

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan di luar Perumahan Iskandar Malaysia (Prisma), di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 12.03 tengah malam.

Beliau berkata, mengikut maklumat awal, seorang lelaki didakwa terperangkap dalam kereta terbakar di kawasan perumahan itu.

Menurutnya, hasil siasatan terhadap saksi mendapati kereta itu berhenti di lokasi kejadian dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki rentung di dalam kereta dan tiada butiran pengenalan diri mangsa diperoleh.

"Polis tidak menemukan sebarang butiran mahupun barang berharga di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan bantuan bomba dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa yang rentung dengan tangan dan jari terputus itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor untuk bedah siasat," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

Menurutnya, operasi diketuai Mohd Khairi Zainuddin yang tiba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian kasih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pagi.

Disiarkan pada: March 28, 2022 @ 3:39pm
d