mutakhir

Mangsa buli kini jaguh Muay Thai [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Pernah menjadi mangsa buli, Muhammad Iqmal Ersha Syafirol Dila, 16, bangkit menebus maruah diri dengan menceburi sukan Muay Thai hingga berjaya memenangi pingat emas dalam kejohanan yang disertai.

Meskipun baru dua bulan menceburi sukan itu, Muhammad Iqmal menewaskan lawannya untuk memenangi pingat emas kategori senior dalam Kejohanan Amatur Muay Thai Negeri Johor di Kompleks Sukan Negeri Johor pada Sabtu lalu.

Pada pertandingan itu, Muhammad Iqmal yang sepatutnya menandingi kategori junior dipindahkan kepada kategori senior kerana faktor ketinggiannya yang mencecah 182 sentimeter dengan berat 99 kilogram.

Dia bagaimanapun perlu melalui dua lagi peringkat pemilihan sebelum terpilih menjadi atlet mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.

Muhammad Iqmal yang juga pelajar tahfiz berkata, dia berazam untuk mewakili Johor ke SUKMA dan bertanding ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.

"Saya pernah menjadi mangsa buli tahun lalu apabila ditumbuk pelajar senior ketika sedang tidur pada jam 2 pagi.

"Dia bertanyakan saya ada membuat salah apa dan menyuruh saya berdiri sambil berulang kali menumbuk dada.

"Itu bukan kali pertama saya kena buli dan selepas kejadian saya bertukar ke sekolah baharu dan timbul hasrat mahu belajar Muay Thai daripada ayah. Bermula dari situlah saya menceburi sukan ini," katanya ketika ditemui di Kelab Evolution Combat Muay Thai di Taman Idaman sini.

Hadir sama, pengasas dan jurulatih Muhammad Iqmal, Mohamad Al Ikhsan Abd Jalil.

Muhammad Iqmal berkata, dia tidak menyimpan dendam kepada individu yang membulinya namun mengingatkan kaki buli supaya berhenti membuat kerja tidak berfaedah itu.

"Saya berterima kasih sebenarnya kepada pembuli terbabit kerana kejadian itu saya belajar ilmu Muay Thai.

"Saya harap mangsa buli tidak berdiam diri dan belajar ilmu mempertahankan diri selain tidak pula menyalahgunakan ilmu yang diperolehi itu," katanya.

Muhammad Iqmal berkata, dia konsisten melakukan latihan Muay Thai dan menghafaz al-Quran kira-kira satu jam setiap hari selepas Maghrib.

Kejadian buli yang berlaku ke atas remaja itu sehingga mengalami kecederaan di dada serta trauma dan menerima sebagai pesakit luar di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom itu pernah disiarkan akhbar pada Disember lalu.

Disiarkan pada: March 29, 2022 @ 1:20pm
d