mutakhir

Disyaki cabul murid, pemandu bas ditahan

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang pemandu bas sekolah ditahan polis, hari ini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian mencabul murid perempuan berusia 11 tahun ketika ke sekolah menaiki van sekolah, Isnin lalu.

Cerita mengenai kejadian berkenaan tular di laman sosial apabila bapa kanak-kanak itu memuat naik hantaran dua sedutan rakaman dia berjumpa pemandu berkenaan dan berlaku pertengkaran.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Jalan Persiaran Utama, Seremban 2, di sini, jam 2 petang hari ini.

"Berdasarkan laporan daripada seorang wanita berusia 40 tahun berkaitan kes cabul ke atas seorang murid perempuan tahun lima, polis menahan seorang pemandu bas lelaki, hari ini.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku dalam kes yang disiasat itu. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki memuatnaik hantaran di laman Facebooknya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan seorang pemandu bas sekolah yang dinaiki anaknya yang bertindak melampau.

Berdasarkan hantaran itu, pemandu berkenaan pada mulanya mencubit pipi mangsa dan semakin berani dengan menepuk paha kanak-kanak itu.

Dalam dua video yang dimuatnaik juga kelihatan dua lelaki bertengkar sebelum lelaki yang berambut panjang menampar lelaki yang bertopi.

Disiarkan pada: March 30, 2022 @ 7:02pm
d