mutakhir

Tertekan pedal minyak, kereta rempuh 3 motosikal

Oleh ZatulIffah Zolkiply

Marang: Gara-gara tertekan pedal minyak, kereta dipandu seorang wanita hilang kawalan dan merempuh tiga motosikal yang parkir di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 pagi ketika wanita berusia 35 tahun memandu berseorangan dari arah lampu isyarat menghala ke Bandar Marang.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan mahu membelok ke simpang sebelah kiri sebelum tertekan pedal minyak.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta Perodua Bezza itu hilang kawalan dan melanggar tiang konkrit yang berada di atas pembahagi di sebelah kiri jalan sebelum merempuh tiga motosikal terbabit.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan akibat kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: March 30, 2022 @ 11:12pm
d