mutakhir

Kehilangan Eric tiada kaitan sindiket jual organ

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis menafikan kehilangan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, sejak awal bulan ini ada kaitan dengan kes penjualan organ.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang kes jenayah itu berlaku di negeri ini khususnya di Kuching.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin yang mengaitkan kehilangan kanak-kanak itu dengan aktiviti jenayah penjualan organ manusia.

"Ini adalah kes terpencil dan ia tiada kaitan dengan mana-mana sindiket penjualan organ seperti yang didakwa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Menurut Ahsmon, penyebaran spekulasi itu harus dihentikan kerana ia hanya akan menimbulkan kegusaran kalangan orang ramai.

"Saya juga ingin menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik dan takut untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan," katanya.

Hari ini, pasangan suami isteri dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan membunuh kanak-kanak terbabit antara jam 5 petang 4 Mac hingga 9.15 pagi, 7 Mac lalu.

Ling Kok Liang, 51 dan isterinya Wendy Chai Xue Zhen, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah bernombor 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chuan Yi di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton kemudian menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Disiarkan pada: March 31, 2022 @ 4:32pm
d