mutakhir

Taktik baru 'scammer', hantar gambar waran tangkap

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan taktik terbaharu penipuan yang menghantar gambar didakwa sebagai waran tangkap bertujuan untuk menakutkan mangsanya.

Pengarahnya, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa kebiasaannya akan menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali seterusnya mendakwa mereka adalah pegawai polis, mahkamah dan sebagainya.

"Taktik ini adalah sebahagian daripada modus operandi digunakan sindiket Macau Scam bagi menperdayakan dan menipu mangsa.

"Adalah dimaklumkan, bagi menyempurnakan waran tangkap, polis tidak akan menghantar gambar dokumen kepada individu terbabit.

"Waran hanya akan ditunjukkan secara fizikal kepada individu yang ditahan ketika tangkapan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada dakwaan pihak tidak dikenali yang mengaitkan individu dengan mana-mana kes jenayah.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang menerima panggilan meragukan adalah dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2022 @ 7:41pm
d