mutakhir

KBP semai semangat sayangi alam sekitar

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Memupuk kesedaran Malaysia Hijau bermula dari rumah antara fokus Kelab Belia Prihatin (KBP) bagi menyemai semangat sayangi alam sekitar dalam kalangan remaja.

Ketua Belia Prihatin Parlimen Hulu Langat Tengku Ameyra Hashim berkata, inisiatif memupuk masyarakat menyayangi alam sekitar, flora dan fauna dalam situasi santai perlu bermula dari rumah terutamanya bersama ahli keluarga.

Katanya, sempena meraikan kempen Earth Day yang disambut setiap 26 Mac setiap tahun pihaknya mengadakan aktiviti menanam tumbuhan dalam pasu bersama membabitkan belia dari sekitar Lembah Klang seawal umur 17 tahun.

"Pendekatan sebegini penting bagi memastikan anak kecil juga mempunyai kesedaran sivik sekaligus menyediakan aktiviti yang seronok untuk dilakukan bersama-sama ibu bapa.

"Semua tenaga dan usaha dalam kalangan masyarakat pastinya memainkan peranan dan memberi impak bagi memastikan agenda Malaysia hijau ini dapat dijalankan tanpa mengira jumlah pokok atau jam masa," katanya.

Menurutnya, program ini sekaligus memberi pendedahan mengenai fungsi tumbuhan dalam rumah yang boleh bertindak sebagai pembersih udara alami dengan kadar jagaan yang minimum.

Katanya, KBP juga menumpukan usaha dalam agenda hijau terutamanya dalam kalangan belia dan beliawanis di seluruh Malaysia melalui kempen penanaman pokok di seluruh negara.

"Sehingga kini, kami sudah menanam hampir 500 batang pokok di seluruh Malaysia termasuk yang terbaru di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

"Kempen We Be-Leaf Together ini juga selari dengan inisiatif kerajaan yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok baru menjelang 2025," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2022 @ 3:11pm
d