mutakhir

Industri pelancongan tempatan perlu bersedia terima pelancong

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Bukit Kayu Hitam: Pemain industri pelancongan tempatan diminta bersedia menerima kemasukan pelancong antarabangsa yang dijangka berjumlah dua juta orang susulan pembukaan kembali sempadan negara hari ini.

Pengarah Kanan (Promosi Antarabangsa) Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata. pembukaan sempadan dijangka merancakkan kembali industri pelancongan yang suram sejak dua tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kemasukan dua juta pelancong terbabit dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan tempatan apabila mereka diramal berbelanja sehingga RM8.6 bilion sepanjang tahun ini.

"Promosi pelancongan Malaysia memang giat dilakukan Pejabat Tourism Malaysia di luar negara, cuma kita berharap pemain industri tempatan bersedia menerima kehadiran pelancong antarabangsa selepas ini.

"Pemain industri perlu merangka pakej pelancongan baharu dan mempelbagaikan pakej terbabit agar mampu menarik lebih ramai pelancong masuk sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Terdahulu, beliau mengiringi Exco Perumahan dan Alam Sekitar Kedah Dr Robert Ling Kui Ee meninjau operasi pihak berkuasa di pintu masuk ICQS Bukit Kayu Hitam sempena pembukaan sempadan Malaysia-Thailand.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, pihaknya melihat ketibaan Ramadan juga tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong luar kerana ia boleh dijadikan sebagai sebahagian promosi pihaknya menarik pelancong.

"Sebelum ini, kita memang ada promosi pelancongan ketika Ramadan apabila pelancong dibawa melihat dan merasai sendiri pengalaman berbuka puasa selain turut melihat suasana solat terawih di negara ini.

"Jadi kita tidak melihat bulan puasa sebagai halangan, sebaliknya ia mampu menjadi antara tarikan kepada pelancong," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2022 @ 3:12pm
d