mutakhir

Lelaki Rohingya ditahan, buat laporan palsu konon disamun

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lelaki etnik Rohingya berusia 30-an sanggup membuat laporan palsu mendakwa disamun selepas kehilangan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Tindakan terbabit menyebabkan lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu itu ditahan selepas polis mendapati tidak berlaku kejadian seperti dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, lelaki berkenaan mendakwa disamun dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ketika berjalan di kawasan jejantas berhampiran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada Isnin lalu.

Katanya, lelaki terbabit kemudian hadir ke balai polis bagi membuat laporan sehari kemudian.

"Namun siasatan polis mendapati kejadian itu tidak berlaku dan tujuan laporan dibuat adalah bagi mendapatkan kad UNCHR baharu kerana kad lama sudah hilang serta tamat tempoh pada tahun 2021.

"Susulan itu, lelaki terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Rahimi berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Ia juga menyusahkan polis bagi menjalankan siasatan yang sepatutnya diguna terhadap kes lain demi kepentingan masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2022 @ 6:54pm
d