mutakhir

JPKM 2022 bantu 50,000 pelajar SPM tercicir, miskin

Oleh Anis Syuhada Mohd Rosli

Kuala Lumpur: Dana sebanyak RM800,000 diperuntukkan kepada anak-anak Pulau Pinang bagi melanjutkan pengajian menerusi program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022.

Replika cek biasiswa berkenaan diserahkan Universiti Antarabangsa UNITAR pada Majlis Perasmian Jelajah JPKM Peringkat Negeri Pulau Pinang anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) di Permatang Pauh, di sini, tadi.

Program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Pada majlis itu turut diadakan penyerahan surat tawaran melanjutkan pengajian kepada pelajar yang layak daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Antarabangsa UNITAR dan penyerahan Bantuan Tunai Pendidikan kepada anak-anak Pulau Pinang mengikut kelayakan pendapatan keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM, Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya sangat berbesar hati dan berasa terharu dengan kehadiran Ahmad Fuzi bagi merasmikan program berkenaan.

"Tuan Yang Terutama (Ahmad Fuzi) selalu berpesan kepada saya untuk memastikan tiada seorang pun anak-anak Pulau Pinang tercicir daripada mendapat akses pendidikan tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, program berkenaan memberi sumbangan besar kepada rakyat Malaysia khususnya bagi golongan pelajar tercicir dan kurang berkemampuan untuk diberi peluang kedua melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

JPKM 2022 adalah kesinambungan daripada Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang dianjurkan pada 2016 hingga 2018.

Program berbentuk pameran pendidikan itu membabitkan penyertaan seluruh universiti awam dan institusi pengajian tinggi bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

JPKM 2022 akan berlangsung selama empat bulan bermula pada 6 Mac hingga 30 Jun 2022.

JPKM 2022 adalah inisiatif dan Program Khas cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.

Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi Mencari, Mengenal dan Membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016 - 2021 yang juga anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.

PRIHATIN berharap agar pelajar lepasan SPM dan STPM tahun 2016 -2021 yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan tidak melepaskan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, Skim Bantuan Pendidikan turut disediakan kepada mereka yang layak hasil sumbangan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan korporat.

Disiarkan pada: April 2, 2022 @ 11:48pm
d