mutakhir

LITB jana pendapatan RM50 juta

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 10,216 pelancong dalam tempoh 15 November hingga 31 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata pelaksanaan projek kira-kira empat setengah bulan itu turut berjaya menjana pulangan RM50 juta kepada negara.

"Berbekalkan kejayaan itu dan susulan pembukaan sempadan negara kepada pelancong asing mulai Jumaat lalu, LADA yakin jumlah pelawat boleh mencecah 2.5 juta dengan pulangan RM3.2 bilion akhir tahun ini.

"Kita optimis mencapai angka itu kerana menjelang Jun ini, beberapa negara di hemisfera utara dan Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan mengalami musim panas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Pusat Penerangan Pelancongan (PPP) kendalian Tropical Charters Sdn Bhd (Tropical Charters) di Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, P Manoharan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Datuk Alexander Issac.

Mengulas pembukaan PPP terbaharu di kawasan tumpuan pelancong di Pantai Chenang, Nasaruddin berkata, ia menjadi satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha menyemarakkan industri pelancongan di pulau ini yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

"Pusat yang dibangunkan menerusi perkongsian pintar antara sektor swasta dan kerajaan ini berpotensi menjadi hab penjualan pakej dan produk pelancongan, sekali gus memudahkan pelancong mendapatkan maklumat.

"Pendekatan ini wajar diketengahkan, pelbagai pihak perlu mencipta idea baharu dan tindakan kreatif demi mengembalikan kecemerlangan sektor pelancongan yang suram kira-kira dua tahun," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2022 @ 10:18am
d