mutakhir

Kenderaan plat Singapura isi RON95, KPDNHEP tingkatkan pemantauan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan lebih agresif di semua stesen minyak terutamanya berdekatan dengan bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai gambar tular berkaitan kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran mengisi petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak dalam negara.

"Kenderaan itu yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning disyaki RON95.

"Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta-merta. Saya juga mengarahkan pemantauan lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak terutama berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Op Pantau 2022 hari ini.

"Selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, Op Pantau 2022 turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula 1 April lalu.

"KPDNHEP dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan RON95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

"Malah, kementerian juga mengarahkan KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974)," katanya.

Beliau berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan atau syarikat, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

"Orang ramai boleh membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya," katanya.

Terdahulu, satu gambar menunjukkan seorang lelaki mengisi RON95 pada kenderaannya yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Disiarkan pada: April 3, 2022 @ 3:18pm
d