mutakhir

Polis buru penunggang menari sambil tunggang motosikal

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis sedang mengesan seorang penunggang dalam video yang tular menunjukkan aksi melepaskan tangan sambil menari atas motosikal.

Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 16 hingga 17 di Lebuhraya Seremban-Port Dickson sebelum susur keluar Springhill.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi rakaman video berdurasi 39 saat di Facebook (FB).

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas membuat semakan lanjut dan mendapati video ini dirakam menggunakan aplikasi TikTok dengan pemilik akaun goodymy_official pada 25 November tahun lalu.

"Video itu kemudiannya tular di FB, semalam," katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi menyalurkan maklumat kepada BSPT IPD Port Dickson.

"Pihak polis juga menyeru individu yang dikenal pasti dalam rakaman itu untuk menyerah diri dengan kadar segera dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2022 @ 8:13pm
d