mutakhir

850 tan sampah hanyut di Sungai Klang setiap bulan

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Sasaran pengurangan kutipan sampah hanyut di sepanjang Sungai Klang sebanyak 500 tan sebulan melalui penggunaan jentera pembersihan sungai, Interceptor.

Ia akan dilakukan menerusi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang dijangka diperhebatkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim berkata, jumlah kutipan semasa sampah kini dianggarkan kira-kira 850 tan sebulan berbanding 1,500 tan hingga 2,000 tan pada awal operasi pembersihan itu.

Bagi mencapai sasaran itu katanya, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memasang perangkap sampah (log boom) di laluan sungai di bawah kawasan pentadbiran mereka.

"Kerajaan negeri hendak kurangkan (kutipan sampah di Sungai Klang) kepada 500 tan setiap bulan, caranya kita bekerjasama dengan empat PBT supaya mereka dapat memasang 'log boom' sebelum sampah masuk ke Sungai Klang.

"Log boom yang akan dipasang oleh empat PBT ini bagi membolehkan kutipan sampah dibuat lebih awal sebelum masuk ke Sungai Klang.

"PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Majlis Perbandaran Klang (MPK)," katanya selepas sesi lawatan khas berhampiran Jambatan Jalan Parang, Pelabuhan Klang Utara, di sini, tadi.

Lawatan dengan menaiki bot dari Taman Awam Pangkalan Batu sejauh kira-kira 17 kilometer itu turut disertai puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat.

Disiarkan pada: April 4, 2022 @ 4:17pm
d