mutakhir

Kenal dalam penjara, terbabit 14 kes pecah rumah [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga daripada mereka kenal di penjara sebelum terbabit dengan tiga lagi rakan dalam 14 kes pecah rumah di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur sejak Januari lalu.

Mereka termasuk seorang daripadanya mempunyai rekod 42 kes pecah rumah itu menyasarkan mangsa atau warga tua yang tinggal berseorangan di rumah teres serta bergerak aktif sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu terbongkar selepas mangsa yang juga ejen pelaburan berusia 61 tahun membuat laporan polis pada 26 Februari lalu selepas rumahnya di kawasan Ayer Itam di sini, dipecah masuk hingga menyebabkannya mengalami kerugian sebanyak RM50,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, hasil risikan dan maklumat membantu sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang berjaya menahan empat suspek di Kulim pada 25 Mac lalu menerusi Op Pintu Mutiara, manakala dua lagi ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 34 hingga 47 tahun dan berasal dari Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati mereka berkerja sebagai kontraktor rumah, mekanik, pengecat kereta serta menjual pakaian secara dalam talian.

"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai antara dua hingga 45 rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah, manakala seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis berikutan kes dadah pada 2014 dan 2017 di Selangor.

"Ujian saringan air kencing mendapati empat daripadanya positif methamphetamine dan amphetamine," katanya ketika sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurutnya, antara barangan yang berjaya dirampas daripada suspek adalah dua kereta, 12 telefon bimbit, 11 unit jam, kamera, wang tunai pelbagai mata wang asing dan tempatan serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Rahimi berkata, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 14 kes pecah rumah dengan lapan kes berlaku di Pulau Pinang dengan nilai kerugian lebih RM200,000 dan enam di Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

"Suspek berusia 45 tahun yang mempunyai 42 rekod kes pecah rumah dan tiga lagi berkaitan dadah itu bertindak sebagai ketua bagi kegiatan ini dan kita masih mengesan saki baki ahli lain yang terbabit.

"Polis sedang mengesan seorang lagi individu dipercayai ahli kumpulan itu yang dikenali sebagai Lo Bin Son berusia 39 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: April 4, 2022 @ 5:24pm
d