mutakhir

Persatuan Haiwan Malaysia mahu JPV tangani kes kekejaman haiwan

Oleh Mohamad Ashyiq Haqimi Bin Yusof

Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia mahu kes jenayah atau kekejaman terhadap haiwan ditangani Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) supaya Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap penzalim dapat diguna pakai.

Mengikut akta itu, sebarang kekejaman atau membunuh haiwan tanpa sebab boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, kes jenayah dan kekejaman haiwan perlu ada penyiasatan yang lebih mantap dan perlu melakukan sedikit perubahan dalam kaedah penyiasatan terutamanya pada aspek pertuduhan.

"Buat masa ini, terdapat tiga pilihan undang-undang terhadap kekejaman haiwan iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang terdahulu Akta Binatang 1953 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan digunakan oleh pihak polis.

"Seharusnya kes jenayah haiwan perlu ditangani oleh pihak JPV mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Ia berbeza dengan Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman ringan, malah kini sudah tidak relevan dengan kekejaman yang terjadi serta gangguan emosi yang perlu dihadapi masyarakat sekeliling.

"Hukuman yang lebih berat juga mampu mendidik masyarakat untuk tidak mengulangi kejadian yang membabitkan kezaliman terhadap haiwan," katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam, seorang pesara polis yang melakukan khianat dengan menembak seekor kucing jantan yang memakan ayam peliharaannya dan melepaskan tembakan di tempat awam, dijatuhi hukuman denda berjumlah RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainol Abidin Md Zain, 65, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.

Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan manakala denda RM1,500 atau penjara dua bulan untuk kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.

Zainol Abidin didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan selaras senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia, Kuang, Selangor pada 6.40 petang, 1 Julai 2020 mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lelaki itu turut didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama, Persatuan Haiwan Malaysia menerima kira-kira 35 aduan kekejaman haiwan stakat awal bulan ini.

Menurutnya, sebanyak 30 daripada aduan berkenaan adalah berkaitan dengan kekotoran tempat peliharaan, tidak memberi makan dengan sempurna dan tali peliharaan yang pendek.

"Aduan yang diterima ini akan terus dipanjangkan kepada JPV di negeri berkaitan supaya bantuan dan lawatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan segera.

Disiarkan pada: April 6, 2022 @ 4:07pm
d