mutakhir

Ibu tunggal menyundal didenda RM3,500

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Wanita warga asing yang mencari pelanggan bagi maksud persundalan, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu tunggal, Nyuyen Thi Tuyen, 39, yang mengaku salah atas pertuduhan terbabit.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan. Tertuduh didapati mencari langganan bagi maksud persundalan di Blok B2, Jalan Abadi 1, Taman Malim Jaya pada 23 Februari lalu, jam 9 malam.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara selama setahun atau denda, atau kedua-duanya.

Semasa rayuan, peguam, Loong Meng Si memohon mahkamah mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya, tertuduh melakukan pekerjaan itu kerana terdesak mendapatkan wang bagi dikirim kepada ibunya yang menjaga dua anak berusia 10 dan 11 tahun di Vietnam.

"Tertuduh rasa bersalah selepas didakwa dan saya memohon hukuman denda paling minimum dikenakan," katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2022 @ 4:28pm
d