mutakhir

'Buka puasa awal, wajib ganti' - Mufti Kelantan

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Penduduk yang beragama Islam di Kampung Guchil 7, dekat Kuala Krai yang berbuka awal selepas mendengar laungan azan Maghrib daripada bilal Surau Al-Qadir wajib menggantikan puasa mereka selepas Ramadan berakhir.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, bagi yang berbuka awal, puasa mereka dikira terbatal.

Katanya, orang berbuka awal akibat terkeliru dengan laungan azan Maghrib adalah tidak bersalah.

"Namun, mereka diwajibkan menggantikan puasa berikutan puasa terbatal. Jika tidak ganti, puasa mereka akan tertolak sehari.

"Mungkin bukan semua umat Islam di lokasi itu berbuka awal kerana ada yang sedar dengan kesilapan azan Maghrib dilaungkan lebih awal daripada masa sepatutnya.

"Bagi yang berbuka awal ini, bukan kesilapan mereka, namun dinasihatkan selepas ini supaya mereka lebih cermat dan berhati-hati dalam soal waktu berbuka puasa serta bersahur," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, sebaliknya jika individu berpuasa yang tidak sengaja dan tanpa sedar 'termakan atau terminum' di siang hari, puasa mereka tidak terbatal.

Katanya, jika makan dan minum lebih awal dan dalam keadaan sedar, mereka perlu ganti puasa.

Media semalam melaporkan, bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai dipercayai melaungkan azan Maghrib awal empat minit daripada waktunya kelmarin, sehingga kejadian itu tular di media sosial.

Imam Masjid Bandar Kuala Krai Armin Azahari Mamat berkata, ketika kejadian, bilal itu tidak menyedari bahawa dia melaungkan azan Maghrib pada 7.17 malam, menyebabkan ada segelintir penduduk percaya sudah masuk waktu berbuka puasa.

Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 12:25pm
d