mutakhir

Pandai kau berlakon larikan emas

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Berpura-pura mahu membeli gelang tangan emas bernilai RM10,000 sebelum melarikan barang kemas berkenaan dengan menunggang motosikal.

Itu tindakan seorang wanita bertubuh gempal yang dikesan melakukan jenayah itu di sebuah kedai emas di sini, jam 3.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Gani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung jenayah itu pada jam 8.18 malam semalam.

Katanya, laporan dibuat seorang wanita yang juga jurujual di kedai emas berkenaan.

"Berdasarkan laporan, seorang wanita muncul dan berpura-pura mahu membeli emas. Suspek bagaimanapun melarikan seutas gelang tangan emas seberat 36.76 gram dianggarkan bernilai RM10,000.

"Suspek berbadan gempal, kulit sawo matang serta dipercayai berusia lingkungan 30-an.

"Suspek dibantu lelaki yang menunggang motosikal Yamaha berwarna merah tanpa nombor pendaftaran, "katanya tadi.

Amran berkata, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 9, 2022 @ 3:44pm
d