mutakhir

Resipi 200 tahun air halia, bubur lambuk Masjid Kampung Pulau Timbul [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kubang Pasu: Resipi 200 tahun air halia dan bubur lambuk disediakan Masjid Kampung Pulau Timbul di sini, terus menjadi rebutan orang ramai bagi berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Juadah itu dianggap istimewa kepada orang ramai kerana dimasak menggunakan kawah dan periuk tembaga yang dikatakan dibawa pedagang India ke kampung itu kira-kira dua dekad lalu.

Bagaimanapun, selari peredaran zaman, kayu api tidak lagi digunakan bagi menyediakan dua juadah itu, sebaliknya ditukar kepada dapur gas demi menjaga kebersihan persekitaran masjid.

Setiausaha Masjid Kampung Pulau Timbul, Abdul Razak Omar, 68, berkata ketika kayu api masih digunakan, pihaknya berhadapan masalah apabila asap tebal memasuki ruang solat dan menyebabkan tapak kaki jemaah menjadi hitam.

"Jadi kita buat keputusan tahun lalu untuk mula memasak bubur lambuk dan air halia menggunakan dapur gas bagi mengelak jelaga melekat di ruang solat.

"Namun, resipi yang diguna tetap sama seperti dahulu, kanji (bubur lambuk) kita masak hampir dua jam dan perlu dikacau setiap masa bagi mengelak hangit dan tidak melekat bagi mengekalkan rasa aslinya," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Pulau Timbul.

Abdul Razak yang juga tukang masak kedua-dua hidangan itu berkata, selepas solat Zohor, pihaknya akan terus menyediakan bahan masakan iaitu 10 kilogram beras bagi membuat bubur lambuk yang boleh dimakan sehingga 300 ke 400 orang.

"Kita tidak ada masalah kos menyediakan air halia dan bubur kanji kerana ada penyumbang khas. Kita buat semua secara gotong royong sehingga ada yang bertugas membungkus makanan, namun kita galak orang ramai bawa bekas sendiri.

"Selepas selesai, kita akan basuh semua kawah dan periuk tembaga bagi memastikan semua perkakas dijaga rapi dan resipi dua hidangan ini diturunkan pula kepada generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, penduduk, Zubaidi Fadzil, 53, berkata setiap kali Ramadan, air halia dan bubur lambuk Masjid Kampung Pulau Timbul sentiasa dinantikan ahli keluarganya.

"Rasanya memang tiada tandingan, anak juga sangat suka rasa bubur lambuk ini yang lebih menarik resipi ini sebenarnya mengeratkan silaturahim penduduk apabila keluar beramai-ramai ke masjid bagi mengambilnya.

"Malah, anak yang merantau apabila pulang ke kampung turut mencari hidangan ini dan pastinya tahun ini paling istimewa selepas dua tahun kita berdepan pandemik Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2022 @ 3:59pm
d