mutakhir

Maut dihempap lif pengangkut barang

Oleh Erika George

Bintulu: Seorang remaja lelaki maut selepas dihempap lif pengangkut barang di sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Sultan Iskandar, di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 5.21 petang.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba menemukan remaja lelaki itu dalam keadaan terbaring di bawah lif berkenaan.

"Pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Andrew Munding Kuling berusia 18 tahun itu sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa sejam mengeluarkan mayat mangsa dan dialihkan ke tempat selamat.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

"Siasatan terperinci akan dijalankan polis bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang menyebabkan kematian itu," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2022 @ 10:27pm
d