mutakhir

Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Yayasan Tebagu, Kampung Numbak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut hadir di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengangkat mangsa.

"Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Disiarkan pada: April 12, 2022 @ 11:53am
d