mutakhir

Kehidupan berubah selepas diserang strok

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: Sejak suaminya Abdul Karim Ishak, 51, diserang angin ahmar tiga tahun lalu, kehidupan Halimah Abdullah, 53, sekeluarga berubah.

Dia kini hanya bergantung pendapatan dengan menoreh getah dengan menerima upah RM1 bagi setiap kilogram (kg) bagi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, Abdul Karim mengalami strok di bahagian kiri badan pada Mac 2019 dan sejak itu suaminya tidak lagi mampu berjalan.

"Sebelum ini suami kerja sebagai pemandu lori dan mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan. Kini saya perlu uruskan dia setiap pagi sebelum keluar menoreh getah kira-kira jam 7.30 pagi.

"Kadang-kadang saya terpaksa berhutang dengan kedai untuk membeli barang keperluan. Mujur pemilik kedai faham keadaan kami dan saya akan bayar hutang selepas menjual getah sekerap.

"Jika musim hujan, pendapatan saya berkurang kadang-kadang tidak sampai RM200 sebulan. Saya akan bayar hutang secara beransur-ansur," katanya yang tinggal di perumahan Keda Kota Aur, di sini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata dia tidak terlalu berharap kepada anak-anaknya kerana mereka juga sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan sendiri selain hanya bekerja kilang dan ada yang menoreh getah.

Katanya, anak bongsu mereka masih bersekolah di tingkatan lima dan hasil wang menoreh getah itu yang digunakan untuk menyara persekolahan anaknya.

"Anak-anak ada saya ada membantu juga, kadang-kadang mereka bawa bapa mereka pergi mengurut, Alhamdulillah suami saya sudah boleh berjalan perlahan-lahan di dalam rumah.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat bantuan zakat sebanyak RM200 sebulan dua tahun lalu dan duit itu digunakan untuk membeli keperluan suami yang perlu berjumpa doktor secara berkala di Klinik Kesihatan Gulau," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Halimah di talian 0134988609

Disiarkan pada: April 15, 2022 @ 5:53pm
d