mutakhir

Masih mengemis walaupun dah dapat bantuan JKM

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Mengemis kerana tiada duit walaupun sudah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Itu alasan diberikan kebanyakan pengemis yang diselamatkan oleh pihak penguat kuasa, semalam.

Menerusi operasi bersepadu antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), JKM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 10.30 pagi hingga 2.30 petang semalam, 16 pengemis termasuk tiga warganegara Rohingya berusia antara 12 hingga 70 tahun ditahan di kawasan Pasar Besar Siti Khadijah, depan bank Jalan Lundang dan depan bank Kubang Kerian di sini.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPKB-BRI Mohd Halimie Md Salleh berkata, pihaknya turut menyelamatkan bayi berusia 10 bulan yang dibawa ibunya untuk mengemis.

Katanya, kebanyakan pengemis memaklumkan mereka mengemis kerana tidak mempunyai wang.

"Mereka ini kebanyakan sudah mendapat bantuan wang bulanan daripada JKM. Kita menyelamatkan mereka supaya tidak terus meminta simpati daripada orang ramai.

"Tindakan menyelamatkan ini dikenakan jika berlaku kesalahan dan pengemis akan dihantar ke institusi JKM bagi penjagaan dan tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu terhadap pengemis dijalankan mengikut Akta Orang Papa 1977 (Akta 183) kerana tidak mematuhi dan membabitkan kesalahan di tempat awam.

Disiarkan pada: April 17, 2022 @ 11:24am
d