mutakhir

Mohd Azman Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Bekas Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerima tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, hari ini.

Beliau mengambilalih jawatan daripada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata pada majlis serah terima tugas yang disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Mohd Azman berkata, pelantikannya adalah satu amanah dan beliau bersedia melaksanakan tiga fokus utama yang digariskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, ia termasuk memperkasa integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan dan mendukung dasar kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan rakyat.

"Pada masa sama, penghayatan konsep kembali kepada asas juga amat penting yang menuntut kita mengutamakan perkara asas seperti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penugasan.

"Selain itu, kita harus melaksanakan tugas berlandaskan peruntukan undang-undang, mematuhi perintah tetap dan arahan pentadbiran untuk memastikan kita berada di landasan yang betul.

"Pematuhan kepada ketetapan itu juga mampu mengelakkan setiap pegawai dan anggota daripada sebarang liabiliti dalam melaksanakan tugas," katanya ketika berucap di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini.

Beliau yang berasal dari Taiping, Perak, berkhidmat selama 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebahagian besar perkhidmatannya dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Sementara itu, Hazani menyifatkan pucuk pimpinan PDRM mengambil langkah tepat melantik Mohd Azman mengetuai polis Sarawak.

Menurutnya, Mohd Azman bukan sahaja memiliki pengalaman luas dalam JSJ, tetapi juga antara pakar undang-undang dalam PDRM.

"Sebab itu saya juga memilih beliau (Mohd Azman) sebagai 'my learned lawyer' yang menjadi penasihat undang-undang saya.

"Ini memang wajar dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang," katanya.

Katanya, Mohd Azman diyakini mampu membawa kecemerlangan kepada polis Sarawak dalam memenuhi aspirasi rakyat dan kerajaan untuk memastikan ketenteraman di negeri ini.

"Saya juga mengucapkan penghargaan kepada Datuk Mancha (Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak) kerana berjaya melaksanakan tugas memangku dengan penuh dedikasi," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2022 @ 1:07pm
d