mutakhir

Suami isteri ditahan, jual serbuk minuman dicampur dadah [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kegiatan sepasang suami isteri menjual pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dengan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) terbongkar selepas mereka ditahan polis pada 13 April lalu.

Penahanan pasangan berusia 38 dan 31 tahun itu dibuat di sebuah rumah di Simpang Ampat, di sini kira-kira jam 3 petang, susulan soal siasat ke atas seorang lelaki yang ditahan polis di Butterworth pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, semasa serbuan terdapat sejumlah bungkusan plastik serbuk minuman pelbagai perisa antaranya teh tarik, kopi, mangga dan lemon yang dicampur dengan dadah dipercayai jenis MDMA.

"Hasil soal siasat mendapati mereka menghasilkan serbuk minuman berkenaan dengan bantuan seorang lelaki yang ditahan polis di Butterworth.

"Serbuk minuman pelbagai perisa itu dijual kepada 'orang tengah' yang seterusnya dipasarkan untuk kegunaan pusat hiburan dan aktiviti parti liar.

"Serbuk minuman dicampur dadah itu dijual pada harga RM100 sebungkus dan jika beli secara pukal akan diberikan diskaun" katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis membuat rampasan ke atas 164 bungkusan serbuk minuman itu yang dianggarkan seberat lebih 4.2 kilogram (kg) bernilai RM210,494.

"Dalam pada itu, polis turut merampas empat kertas pembalut makanan mengandungi dadah Erimin 5 seberat 7.66 gram (g) bernilai RM390 dan lima paket syabu seberat 27.64g bernilai RM2,764.

"Selain itu, satu paket plastik mengandungi ketamin seberat 5.42g bernilai RM813 dan empat paket plastik mengandungi pil ekstasi seberat 9.52g bernilai RM315 turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Chong Chern berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM28,000, seutas rantai leher bernilai RM7,176, seutas rantai tangan bernilai RM1,332 dan seutas gelang tangan bernilai RM732 yang nilai sitaan termasuk dadah keseluruhannya berjumlah RM252,016.

"Siasatan mendapati suami isteri itu mula bergiat aktif sejak awal tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan.

"Hasil ujian saringan ke atas pasangan suami isteri yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah itu mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin," katanya.

Pasangan suami isteri itu yang mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun itu kini direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: April 18, 2022 @ 5:02pm
d