mutakhir

2,350 mat rempit kena saman

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebanyak 2,350 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di negeri ini bermula 9 April lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Superitendan M Kumarasan berkata, 42 individu berusia 14 hingga 53 tahun turut ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam operasi khas itu, 12,815 individu dan 10,035 kenderaan diperiksa diperiksa dengan 3,723 daripadanya adalah motosikal.

"Manakala 208 kenderaan diambil tindakan sita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Operasi khas ini diadakan bagi menangani isu mat rempit," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Kumarasan, golongan mat rempit bangga apabila melakukan aksi seperti lumba haram, 'wheelie,' 'superman' dan lain-lain aksi yang jelas membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain untuk dimuat naik di media sosial.

"Budaya ini menjadi trend semasa di kalangan mereka malah tidak serik walaupun beberapa kali terlibat dengan kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan yang sama.

"Selain di daerah, fokus operasi ini juga turut di jalankan di lebuh raya bersama JSPT Bukit Aman khusus kumpulan motosikal yang berkonvoi dan melakukan aksi-aksi bahaya seperti yang selalu tular di media sosial yang mana dengan jelas membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2022 @ 10:51am
d