mutakhir

Rancang waktu perjalanan elak kesesakan menjelang Aidilfitri

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Rancang waktu perjalanan mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak kesesakan teruk yang dijangka berlaku menjelang sambutan Aidilfitri akan datang, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan orang ramai akan merentas negeri untuk pulang ke kampung dan keadaan itu dibimbangi memberi tekanan kepada segelintir pemandu yang berada dalam kesesakan lalu lintas.

"Apa yang penting adalah melakukan persediaan kendiri iaitu merancang perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kenderaan juga harus dipersiapkan dengan rapi termasuk memeriksa keadaan kenderaan, menyelenggara kenderaan dan periksa angin tayar sebelum memulakan perjalanan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya supaya membuat perancangan untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri kerana dijangkakan trafik harian boleh mencecah dua juta kenderaan sehari antara 29 April hingga 9 Mei ini.

Ia susulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan bahawa, kerajaan kekal dengan pendirian untuk membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Aidilfitri selepas dua tahun tidak merayakan perayaan itu di kampung susulan pelaksanaan PKP bagi membendung penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Khairil tidak menolak kemungkinan bilangan kemalangan jalan raya akan meningkat apabila orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung pada perayaan kali ini berbanding semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana bilangan kenderaan di atas jalan raya meningkat lebih tinggi memandangkan cuti perayaan yang panjang.

"Sehubungan itu, Miros mencadangkan beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya antaranya pemandu perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh.

"Di bulan Ramadan ini, ada kemungkinan besar pemandu akan mengalami gejala 'microsleep' walaupun pada waktu siang kerana berpuasa. Jadi elakkan berlaku gejala itu.

"Tambah lagi, orang yang tidak biasa memandu dalam jarak jauh jadi banyak benda tidak bersedia, perlulah buat persediaan paling rapi," katanya.

Bagi mereka yang akan pulang ke kampung dengan menaiki motosikal, beliau menasihati penunggang supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Kata beliau, statistik menunjukkan kira-kira 70 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal.

Disiarkan pada: April 20, 2022 @ 4:01pm
d